KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di empat negeri menunjukkan perkembangan positif petang ini dengan Selangor, Perak, Perlis dan Pahang merekodkan penurunan ketara jumlah mangsa serta penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir menurun kepada 616 orang daripada 187 keluarga petang ini berbanding 896 mangsa membabitkan 267 keluarga pagi tadi.
Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan PPS masih beroperasi setakat ini di daerah Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, dengan Kuala Selangor merekodkan mangsa tertinggi, iaitu 474 orang yang ditempatkan di lima PPS.
Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa di tiga daerah berkurangan kepada 1,674 orang daripada 509 keluarga yang masih berlindung di 12 PPS berbanding 1,947 mangsa daripada 586 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan banjir di Larut Matang dan Selama (LMS) pulih sepenuhnya apabila satu PPS yang menempatkan 13 mangsa ditutup tengah hari tadi.
PPS di daerah Hilir Perak pula masih dihuni 880 orang, manakala mangsa banjir di Bagan Datuk merekodkan 459 orang dan Manjung pula kekal 335 orang.
Di PERLIS, jumlah mangsa banjir menurun kepada 20 orang dengan penutupan satu PPS bagi kawasan Arau setakat 4 petang ini berbanding 111 mangsa yang ditempatkan di dua PPS pada sebelah pagi tadi.
Berdasarkan data Sekretariat JPBN Perlis, kini hanya satu PPS masih beroperasi di kawasan Padang Besar bagi menempatkan mangsa berkenaan iaitu di PPS SK Felcra Lubuk Sireh.
Banjir di PAHANG juga semakin pulih dengan hanya 14 orang daripada dua keluarga berada di sebuah PPS di Kuantan petang ini berbanding 113 mangsa daripada 30 keluarga di lima PPS pagi tadi.
Menurut Sekretariat JPBN Pahang, banjir di daerah Raub pulih selepas 106 penduduk daripada 29 keluarga yang berada di empat PPS telah pulang ke rumah masing-masing hari ini.
-- BERNAMA