AM

Malaysia-Singapura Tingkat Kuota Teksi Rentas Sempadan Daripada 200 Ke 500

05/12/2025 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan penting bagi memperkukuh hubungan pengangkutan darat rentas sempadan melalui perkhidmatan teksi dan bas, susulan mesyuarat antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dan rakan sejawatnya Jeffrey Siow, sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 semalam.

Kedua-dua Menteri memaklumkan bahawa antara penambahbaikan itu ialah peningkatan kuota teksi berlesen rentas sempadan daripada 200 kepada 500 bagi setiap negara secara berperingkat, tertakluk kepada pelaksanaan langkah kawal selia yang berkesan bagi menangani perjalanan domestik tidak sah serta pematuhan keperluan insurans.

“Sebagai permulaan, setiap negara akan menyediakan tambahan kuota sebanyak 100 teksi, dengan keutamaan diberikan kepada kenderaan bersaiz lebih besar dan premium yang mampu menampung kumpulan penumpang lebih ramai serta pelancong korporat,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Kedua-dua Menteri turut bersetuju membenarkan teksi asing menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal mereka, manakala pengambilan penumpang kekal terhad di lokasi ditetapkan, yang akan ditambah secara berperingkat bagi mengelakkan operasi titik-ke-titik domestik.

Bagi menyokong penguatkuasaan terhadap perjalanan domestik tidak sah, teksi berlesen mesti mudah dikenal pasti melalui warna korporat (livery), plat kenderaan kalis usik dengan prefiks dan topper khas, serta diwajibkan memasang unit Electronic Road Pricing (ERP2) Singapura untuk kemasukan ke negara itu.

“Bagi meningkatkan kemudahan dan kecekapan tempahan perjalanan rentas sempadan untuk penumpang dan pemandu, kedua-dua negara akan merangka satu rejim kawal selia bagi platform e-hailing dan ride-hailing rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua Menteri juga memaklumkan bahawa perlindungan insurans akan dipertingkatkan dan proses tuntutan dipercepat sekiranya berlaku kemalangan, bagi memastikan keselamatan dan perlindungan lebih baik kepada penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa selain perkhidmatan teksi, pelancong dari kedua-dua negara juga bergantung kepada perkhidmatan bas rentas sempadan untuk tujuan pelancongan, termasuk ke destinasi di luar Johor Bahru.

“Walaupun perkhidmatan sedia ada berfungsi dengan baik, kedua-dua Menteri mengakui lebih banyak pilihan dapat menjadikan perjalanan bas lebih menarik.

“Dalam semangat saling memberi manfaat, kedua-dua Menteri mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura untuk bekerjasama menyelaraskan rejim kawal selia bagi meningkatkan perkhidmatan bas rentas sempadan bagi tujuan pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Loke dan Siow berkata rangkaian pengangkutan darat antara Malaysia dan Singapura merupakan antara yang paling sibuk di dunia, mencerminkan hubungan ekonomi kukuh dan keterikatan rakyat kedua-dua negara, sekali gus menuntut perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang lebih mudah dan cekap.

Mereka menegaskan bahawa penambahbaikan yang dipersetujui mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk meningkatkan kesalinghubungan serta pengalaman perjalanan bagi pengguna yang berulang-alik antara kedua-dua negara.

“Pegawai dari kedua-dua negara akan terus berhubung rapat dan bekerja dengan segera untuk memuktamadkan perjanjian serta melaksanakan penambahbaikan terhadap perkhidmatan teksi dan bas rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499351