EKONOMI

SC Lulus Cadangan Penyenaraian Sunway Healthcare Di Pasaran Utama Bursa Malaysia

05/12/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah meluluskan cadangan penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pada masa ini, SHH adalah syarikat usaha sama langsung 84 peratus milik Sunway City Sdn Bhd (SunCity), yang seterusnya merupakan unit milik penuh Sunway Bhd (Sunway).

Baki 16 peratus pegangan dalam SHH dimiliki oleh Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura. 

Sebagai sebahagian daripada langkah itu, SHH akan melaksanakan pecahan saham pra tawaran awam permulaan (IPO) daripada 1.2 bilion saham kepada 10.9 bilion tanpa menjejaskan modal saham terbitannya. 

Selepas cadangan pecahan saham itu, SunCity akan mengagihkan saham agihan itu kepada Sunway menerusi pemindahan aset dalam bentuk semasa (saham) dan bukannya dalam jumlah wang tunai bersamaan. 

Cadangan IPO itu akan melibatkan sehingga 1.97 bilion saham SHH, terdiri daripada tawaran jualan sehingga 1.39 bilion saham sedia ada, mewakili 12.1 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dan terbitan awam 575 juta saham baharu, mewakili lima peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, kepada pelabur runcit dan institusi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sunway berkata SC juga telah meluluskan cadangan penyenaraian SHH di bawah keperluan ekuiti Bumiputera bagi syarikat awam yang disenaraikan.

Katanya, SHH akan menyediakan sekurang-kurangnya 50 peratus saham SHH yang ditawarkan kepada pelabur awam Malaysia menerusi undian kepada pelabur awam Bumiputera mengikut cadangan tawaran runcit.

Sunway juga menyatakan bahawa Maybank Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd dan SHH perlu mendapatkan kelulusan daripada Bursa Securities bagi sebaran saham awam SHH berhubung penyenaraian yang dicadangkan. 

“Maybank IB, AmInvestment Bank dan SHH akan memaklumkan kepada SC secara bertulis, jumlah saham SHH yang dimuktamadkan berkaitan dengan cadangan penyenaraian SHH sebelum pendaftaran prospektus,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499368