SEOUL, 21 Okt (Bernama-Yonhap) -- Menteri-menteri kewangan daripada anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bersidang di Korea Selatan pada Selasa bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan inovasi, kewangan, dasar fiskal dan pembaharuan struktur, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Kewangan Korea Selatan.
Mesyuarat Menteri Kewangan APEC itu berlangsung selama tiga hari di bandar pelabuhan barat Incheon bertemakan “Building a Sustainable Tomorrow”, sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak APEC.
Mesyuarat itu menandakan pertemuan terakhir peringkat menteri sebelum Sidang Kemuncak APEC yang dijadual diadakan di Gyeongju, sebuah bandar di tenggara Korea Selatan, dari 31 Okt hingga 1 Nov.
Menurut kementerian berkenaan, para menteri akan meneliti bagaimana inovasi, kewangan, dasar fiskal dan pembaharuan struktur dapat menyumbang kepada pertumbuhan mampan selaras dengan kemajuan pesat ekonomi digital, khususnya pembangunan kecerdasan buatan (AI).
“Kami berharap perbincangan yang produktif dan bermakna dapat dicapai dalam mesyuarat ini,” kata Menteri Kewangan Koo Yun-cheol dalam ucapan pembukaan beliau, sambil menambah bahawa anggota APEC kini hampir memuktamadkan pelan hala tuju lima tahun baharu yang dinamakan "Pelan Incheon".
Koo turut menggariskan kejayaan Pelan Tindakan Cebu yang berlangsung selama 10 tahun dan menegaskan bahawa Pelan Incheon akan menjadi hasil paling penting dalam rangka kerja kewangan APEC tahun ini.
“Dalam era transformasi besar AI, kita perlu terus menilai peranan kementerian kewangan dalam mewujudkan persekitaran yang mesra inovasi dan menyokong sektor swasta,” katanya.
-- BERNAMA-YONHAP